PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti BRICS selain meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.
BRICS merupakan kumpulan ekonomi antara kerajaan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA).
“Penyertaan dalam BRICS tidak hanya mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India, namun turut membuka ruang kerjasama luas merentasi spektrum industri dan dasar,” menurut catatan di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia percaya naratif Selatan Global (Global South) tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil menerima kepelbagaian dan perbezaan mereka.
Katanya, naratif ini mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa dan pada hemat saya, ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Sebagai pemacu utama kemakmuran global, Global South kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.
“Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari Global South antaranya ialah India,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan India dan Rakan Dialog yang lain selaku Pengerusi ASEAN tahun depan.
“Saya percaya selaku Rakan Dialog ASEAN, India akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan, dan pertukaran budaya di seluruh rantau ini.
“Malaysia juga merancang untuk meningkatkan penglibatan antara ASEAN dan Bay of Bengal Initiative for Multi-Sectoral Technical and Economic Cooperation (BIMSTEC),” katanya.










