MAINJ perkenal TVET kepada pelajar tahfiz - Utusan Malaysia

MAINJ perkenal TVET kepada pelajar tahfiz

MOHD. FARED Mohd. Khalid (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Iman Ibnu Al Jazari kepada Nur Aishah Izzatie Rosman pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran 2024 di KUIJSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan memperkenalkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar sekolah tahfiz bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran lain selain menghafal al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sejak 2017 kerajaan negeri sudah merencana pelan pendidikan bersepadu bagi mengawal mutu serta kualiti tahfiz awam dan swasta di negeri ini.

“Menerusi sistem Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JQTA) kita dapat memastikan tahfiz dan madrasah berada di landasan betul terutamanya dari segi pengurusan dan pembelajaran.

“Tahun depan (2025) MAINJ akan menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dan sejak 1925 MAINJ berjaya memainkan peranan penting bagi badan mengurus serta mentadbir agama Islam di Johor,” katanya pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Mohd. Ali dan Rektor KUIJSI, Prof. Madya Dr. Hussin Salamon.

 Seramai 64 mahasiswa dan mahasiswi berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sepanjang tiga tahun menuntut di KUIJSI.

Mohd. Fared berkata, mahasiswa berkenaan terdiri daripada 59 penuntut Diploma Tahfiz Al-Quran dan baki lima lagi Diploma Pendidikan Tahfiz Al-Quran.

“Lebih membanggakan penuntut kami berjaya menduduki tempat pertama kategori hafazan 30 juzuk lelaki dalam Ihtifal Institusi Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2024 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), baru-baru ini.

“Selain itu, pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu, Jun lalu, dua penuntut kami berjaya menduduki tempat pertama dan ketiga kategori hafazan lelaki, 1 hingga 20 juzuk.

“Peserta wanita kategori sama, penuntut kita berjaya menduduki tempat ketiga. Kejayaan ini membuktikan penuntut KUIJSI mampu bersaing dengan penuntut IPT lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN