GERIK: Bermula dengan tanaman cili fertigasi diikuti timun, dan penternakan ikan yang dilakukan oleh pelajar Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Air Jernih, mereka kini beroleh kejayaan dalam bidang pertanian apabila hasilnya dapat dipasarkan sekali gus menjana pendapatan lumayan.
Pengerusi maahad tersebut, Dr. Mohd Fahmi Abdul Khir berkata, beberapa perancangan giat diatur di atas tanah seluas 2.4 hektar di kawasan belakang maahad tahfiz tersebut bagi tujuan keusahawanan dan pertanian serta penternakan selain menjadi penggerak sosioekonomi masyarakat setempat.
“Projek Agro Quranic yang mendapat kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta termasuk kerjasama dengan Institut Agro Usahawan (IGROW) dijalankan sejak penghujung 2018 oleh lebih 100 pelajar sendiri dengan tunjuk ajar guru pembimbing dan pakar-pakar bidang pertanian, penternakan serta perladangan.
“Ini bertujuan membantu pelajar dalam bidang sosioekonomi selain melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam bidang hafalan al-Quran, menjadi pendakwah, apabila tamat belajar, malah turut menjadikan mereka profesional dalam bidang pertanian dan penternakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pendekatan yang terkandung dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW mengenai pertanian serta penternakan menjadi inspirasi kepada mereka untuk menceburi bidang ini.
“Bagi jangka panjang, kita juga akan bekerjasama dengan penduduk setempat untuk membeli hasil tanaman mereka bagi diproses menjadi pelbagai produk seperti sos cili dan memasarkannya bagi mengembangkan sosioekonomi penduduk, sekitar” katanya.
Sementara itu, Orang Besar Jajahan (OBJ) Hulu Perak, Datuk Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi berkata, program pertanian diusahakan ini merupakan sebahagian daripada program Pertanian Insaniah yang menjadi pemangkin untuk dilaksanakan oleh hampir 100 masjid di daerah berkenaan selain institusi agama Islam yang lain sebagai menyahut titah Sultan Perak berhubung isu keterjaminan makanan di negeri ini.










