TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di kem pelarian Nour al-Shams di bandar Tulkarem, Tebing Barat semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, jenazah lima mangsa dihantar ke hospital kerajaan Tulkarem, lapor agensi berita Anadolu.
Saksi mata memberitahu, letupan kedengaran di kem, sebelum kepulan asap kelihatan dari sebuah rumah.
Tentera Israel mendakwa, salah satu dronnya menyerang kem itu dan menyasarkan ‘bilik arahan’ lelaki bersenjata Palestin.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tentera Israel melakukan serbuan berkala di Tebing Barat yang semakin meningkat selepas perang di Gaza pada Oktober lalu, mengorbankan lebih 40,400 rakyat Palestin.
Rakyat Palestin juga diserang secara ganas oleh pendatang haram Israel yang tinggal di Tebing Barat.
Sekurang-kurangnya 651 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 5,400 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat, menurut kementerian.
19 Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel selama beberapa dekad di tanah Palestin bertentangan undang-undang dan menuntut pemindahan semua penempatan di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis.










