LHDN rekod 3.8 juta transaksi e-Invois 11 hari pertama - Utusan Malaysia

LHDN rekod 3.8 juta transaksi e-Invois 11 hari pertama

LIM HUI YING (kanan) berbual dengan sebahagian pengusaha yang menghadiri Sesi Jelajah Madani di Hotel Amari, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sistem e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mula dilaksanakan sejak 1 Ogos lalu mencatatkan sejumlah 3.8 juta transaksi setakat semalam.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah transaksi itu menunjukkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pelaksanaan inisiatif tersebut adalah baik.

Justeru, pihaknya akan terus menjalankan siri jelajah ke seluruh negara untuk meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman rakyat  berkaitan perkara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahap kesedaran pemilik syarikat dan peniaga memang sangat baik. Seperti contoh bagi kategori pertama, iaitu perniagaan yang merekodkan nilai jualan melebihi RM100 juta setahun, 3,500 syarikat daripada 5,000 yang disasarkan telah menggunakan sistem ini dalam tempoh 11 hari bermula.

“Baki 1,500 itu bukan mereka tidak guna tetapi kita telah berikan kelonggaran enam bulan, sementara itu mereka gunakan e-Invois yang disatukan dan perlu dihantar sebelum 7 haribulan setiap bulan,” katanya selepas menghadiri Sesi Jelajah Madani di Hotel Amari, di sini.

Sementara itu, Hui Ying turut memaklumkan LHDN akan mengekalkan jumlah jualan bagi kategori ketiga, iaitu lebih RM150,000 setahun pada waktu ini.

“Memang ada pertanyaan dan perbincangan soal itu, namun buat waktu ini jumlah tersebut akan dikekalkan terlebih dahulu dan program ini akan dilaksanakan seperti yang dirancang,” jelasnya.

Dalam pada itu, program anjuran Pejabat Timbalan Menteri Kewangan itu dihadiri lebih 100 pengusaha dan pemilik syarikat di negeri ini yang mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang pelaksanaan e-Invois oleh kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN