JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tahun lalu.
Tertuduh, Wai Chong Yow, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Chong Yow didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada pembantu penguat kuasa MBIP sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kilangnya yang beroperasi tanpa lesen di Taman Perindustrian JB Perdana, dekat sini pada pukul 11.30 pagi, 24 Oktober 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Goh Sze Han.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Sze Han memohon jumlah jaminan dikurangkan RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri serta dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sakit.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










