Kerajaan Madani terus pertahan Islam, Melayu dan bahasa kebangsaan

Kerajaan Madani terus pertahan Islam, Melayu dan bahasa kebangsaan

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kiri) memecahkan bongkah ais sebagai menyempurnakan gimik Pelancaran Program Pra Tahfiz Kemas Negeri Kelantan di Dewan Besar Taman Agropolitan Rantau Manis di Gua Musang, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan Madani hari ini adalah pihak yang sebenarnya mempertahankan soal Islam, Melayu dan bahasa kebangsaan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pusat juga dilihat tegas mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dengan harapan komitmen dan segala usaha berkenaan mendapat barakah daripada Allah SWT.

“Jika ada pihak menyebut Islam dipinggirkan atau kerajaan hari ini tidak lagi memberi keutamaan kepasa Islam.

“Itu adalah satu pembohongan yang paling besar,” katanya semasa berucao pada Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan di Dewan Besar Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sejak diberikan tanggungjawab mengetuai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau telah melaksanakan tanggungjawab memartabatkan dakwah dan pembangunan Islam dengan sebaik mungkin.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah memberikan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk program dakwah dan pembangunan Islam tetapi telah ditambah sebanyak RM500 juta melalui belanjawan tahun ini untuk menjadikan jumlah peruntukan sebanyak RM1.9 bilion bagi tujuan berkenaan.

“Penambahan itu ini langsung tidak mendapat tentangan daripada menteri-menteri yang bukan beragama Islam.

“Malah guru-guru tahmir, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah agama rakyat (SAR) dan guru di sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) terus diperkasakan selain imam-imam, bilal dan siak di masjid-masjid,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pelaksanaan program pra tahfiz di tabika Kemas merupakan satu manifestasi bahawa Islam tidak pernah dikompromi atau dipinggirkan malah dipertahankan oleh Kerajaan Madani.

“Ini bukan teori atau formula, tetapi bukti bahawa iltizam dan tekad kerajaan dalam memartabatkan Islam. Meskipun kita tahu soal agama Islam adalah tanggungjawab kerajaan negeri namun kerajaan pusat tetap komited untuk membantu melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan beberapa institusi lain.

“Begitu juga maahad tahfiz. Terdapat 1,199 maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara dan telah diselaraskan dengan Dasar Maahad Tahfiz Negara yang akan dilancarkan buat kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan pada bulan hadapan,” ujarnya.

Tambahnya, seramai 24,000 huffaz akan dikumpulkan dari seluruh negara pada ketika itu sebagai bukti bahawa kerajaan pusat sentiasa menyantuni maahad-maahad tahfiz dan sekolah-sekolah agama di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN