Keluarga yakin Prebet Fakrullah hilang bukan kerana tertekan

Keluarga yakin Prebet Fakrullah hilang bukan kerana tertekan

MUHAMMAD FAKRULLAH Nazri dilaporkan hilang sejak 24 Jun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keluarga anggota tentera yang didakwa hilang sejak 24 Jun lalu, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, yakin bahawa apa sahaja sebab kepada kehilangannya, bukan berpunca daripada tekanan perasaan termasuk faktor dibuli di tempat kerja.

Bapanya, Nazri Abd. Rahim, 48, berkata, sepanjang bercuti iaitu sebelum perlu melaporkan diri semula ke Kem Terendak, Sungai Udang di sini, Muhammad Fakrullah tidak sekalipun menunjukkan tanda-tanda sedang mempunyai masalah sama ada di tempat kerja atau isu kewangan.

Katanya, anak keduanya itu telah hampir tiga tahun berkhidmat sebagai tentera, justeru faktor buli dilihat tidak relevan untuk dikaitkan sebagai punca Muhammad Fakrullah menghilangkan diri kerana tidak mahu kembali ke kem.

“Kali terakhir anak sulung saya dapat berhubung dengan Fakhrullah adalah pada 4 Julai lalu selepas melihat dia aktif di aplikasi TikTok, namun mesej yang dihantar tidak dibalas.

“Kalau hendak kata kena buli, November ini genap tiga tahun dia masuk tentera. Sudah lepas pun tempoh suai kenal enam bulan, dia sendiri tidak pernah cerita ada berdepan masalah kerja.

“Saya mohon jasa baik orang ramai sekiranya ternampak Fakrullah supaya segera memaklumkan di balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, polis meminta orang ramai membantu mengesan Muhammad Fakrullah yang dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya untuk melapor diri bertugas di Kem Terendak pada 24 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemuda itu dikatakan keluar rumah pada pukul 8.10 malam dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC berwarna hijau, bernombor pendaftaran MBR 7230.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Zulkeple Berahim di talian 010-5052368 atau Balai Polis Tanjung Kling, 06-351 1222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN