PASIR MAS: Keluarga kepada mangsa pembunuhan kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya ditemukan di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka pada 31 Disember lalu bersyukur jenazah Allahyarhamah dikebumikan di kampung halamannya.
Adiknya, Muhammad Irfan, 31, berkata, jenazah kakaknya itu akan disolatkan di rumah keluarga di Kampung Kubang Badak di sini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas.
“Kami masih menunggu kepulangan jasad kak long (Istiqomah) dan jenazahnya akan dikebumikan malam ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.
Muhammad Irfan memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya itu semasa sambutan hari keluarga Disember tahun lalu yang berlangsung di Pantai Morib, Selangor.
Katanya, semasa sambutan itu kakak sempat memaklumkan mahu berjumpa lagi pada Aidilfitri depan.
“Hari itu, kak long nampak gembira hari itu, sempat melambai tangan semasa dia berada dalam kereta untuk pulang dari Pantai Morib.
“Selepas pertemuan itu, pada 24 dan 25 Disember lalu, kak long kemudian dilaporkan hilang pada 26 Disember,” ujarnya.
Muhammad Irfan berkata, pemergian kakak sulungnya itu memberi kesan mendalam buat dirinya kerana mereka hanya dua beradik.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kehilangan seorang guru sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang disahkan sebagai Istiqomah.
Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu, mendapati ia sepadan dengan mangsa.
Hasil ujian mendapati, ia sepadan dengan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada 31 Disember 2023.
Mangsa dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember 2023. – UTUSAN










