SEREMBAN: Program bantuan kaki palsu secara percuma mampu mengembalikan kualiti hidup dengan memberikan kehidupan baharu kepada lebih 130,000 keluarga orang yang kehilangan kaki akibat penyakit atau kemalangan.
Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz berkata, kaki palsu mampu mengembalikan kebolehan individu yang mengalami amputasi kaki bergerak untuk menjalani kehidupan lebih baik, meningkatkan mobiliti serta membuka peluang kepada mereka untuk bekerja, belajar dan bersosial.
Beliau berkata, program seperti Feet4Life dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental selain mengurangkan kesakitan, meningkatkan postur badan dengan menyumbang kaki palsu yang sesuai dan berkualiti.
“Saya menyokong usaha memberi kaki palsu di bawah program Feet4Life ini kerana ia membantu mengembalikan kualiti hidup serta meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan.
“Menyokong inisiatif ini juga menunjukkan komitmen terhadap kesetaraan dan inklusi yang membantu memastikan individu dengan keperluan khas tidak terpinggir daripada peluang yang ada dalam masyarakat selain meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan bantuan kaki palsu,” katanya dalam ucapan pelancaran program Feet4Life peringkat Negeri Sembilan di sini.
Yang turut hadir, Presiden UNITI Asia Business Group, Datuk Jamal Mohd. Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UNITI, Dr. Syed Omar Syed Agil; Penasihat Eksekutif Kedidi Global Sdn. Bhd., Datuk Abdullah Md. Yunus dan Pengarah Kempen Feet4Life, Nu’man Hani Jamal.
Sementara itu, Nu’man Hani memberitahu, Feet4Life merupakan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh Yayasan UNITI dengan kerjasama UNITI Waqi Sdn. Bhd. dan syarikat pembuat kaki palsu bumiputera, Kedidi Global Sdn. Bhd.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UNITI Waqi berkata, kempen itu bertujuan menyumbang kaki palsu secara percuma kepada sasaran lebih 700 individu yang mengalami amputasi kaki dalam kalangan asnaf dan B40.
“Berdasarkan satu kajian, kira-kira 65 peratus daripada 134,000 individu yang mengalami amputasi tangan atau kaki terdiri daripada golongan asnaf dan B40.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus tidak mempunyai akses bagi mendapatkan anggota palsu yang berharga lebih RM5,000,” katanya.
Beliau memberitahu, sejak program pemberian kaki palsu itu dimulakan pada 2022, lebih 250 orang telah menerima manfaat daripada program ini di seluruh Semenanjung.
Sebanyak RM257,500 atau bersamaan 60 unit kaki palsu telah berjaya dikumpulkan melalui Yayasan UNITI yang bakal memberi manfaat kepada 60 pesakit amputasi dalam kalangan asnaf dan B40 di negara ini khususnya di Negeri Sembilan.-UTUSAN.









