Kanak-kanak 11 bulan perlu RM20,000 bedah pundi kencing

Kanak-kanak 11 bulan perlu RM20,000 bedah pundi kencing

MOHAMAD Aniq Afkar bersama ibu bapanya ketika ditemui di Kampung Pulai Chondong, Machang semalam. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Sepasang suami isteri dari Kampung Pulai Chondong di sini buntu selepas memikirkan nasib mereka yang memerlukan wang RM20,000 bagi menampung kos pembedahan pundi kencing anak bongsu mereka berusia 11 bulan.

Siti Hafshah Ismail, 33, dan suaminya, Mohd. Asyraf Abu Sufian, 33, perlu mengumpulkan wang tersebut sebelum Oktober ini.

Siti Hafshah berkata, Mohamad Aniq Afkar perlu membuat pembedahan di bahagian pundi kencing selepas mengalami masalah untuk membuang air kecil.
Menurutnya, ia berpunca daripada masalah buah pinggang kronik yang dialami sejak dilahirkan.

“Agak sukar untuk saya mendapatkan wang kerana pendapatan kami sekeluarga tidak menentu dan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan makanan yang dipesan pelanggan.

“Setiap bulan anak saya (Mohamad Aniq Afkar) memerlukan belanja RM1,000. Jumlah itu merangkumi pembelian susu khas, tiub saluran air kencing dan lampin pakai buang,” katanya.

Siti Hafshah berkata, Mohamad Aniq Afkar menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200, namun ia tidak mencukupi.

Katanya, selain itu dia perlu menanggung perbelanjaan anak sulungya berusia lima tahun yang sudah bersekolah.

“Keadaan kesihatan Mohamad Aniq Afkar juga tidak menentu menyebabkan dia kerap dimasukkan ke hospital.

“Kalau masuk hospital biasanya lebih daripada seminggu,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 164089875146 (Siti Hafshah Ismail) atau hubungi di talian 018‑2052172. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×