PERTH: Seorang jutawan dan pemilik syarikat perlombongan Australia yang mengkritik amalan bekerja dari rumah turut tidak membenarkan kakitangannya keluar semasa waktu pejabat bagi membeli kopi.
Pengarah Urusan Mineral Resources, Chris Ellison berkata, industri tidak mampu bertahan dengan cara kerja fleksibel, sehubungan itu beliau sanggup melabur untuk menaik taraf kemudahan di ibu pejabat syarikat bagi menghalang pekerja daripada meninggalkan bangunan.
“Saya mahu mereka berada di pejabat sepanjang hari. Saya tidak mahu mereka meninggalkan bangunan dan keluar berjalan hanya untuk secawan kopi. Kami sudah kira berapa kosnya beberapa tahun lalu,” katanya semasa pembentangan kewangan syarikat, semalam.
Ellison yang mempunyai pendapatan A$6 juta (RM17.6 juta) tahun lalu, mengkritik polisi syarikat lain yang membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah.
Syarikatnya yang tersenarai di Bursa Saham Australia dan mempunyai 5,600 pekerja, secara rasmi melarang amalan tersebut tahun lalu, walaupun ia menjadi trend sejak awal pandemik Covid-19.
“Saya tidak percaya dengan dasar kerja dari rumah. Saya harap semua syarikat menyokong perkara itu. Lebih cepat, lebih baik,” katanya seperti laporan The Guardian.
Sehubungan itu Ellison berkata, beliau sanggup mengeluarkan belanja untuk menaik taraf kemudahan di pejabat seperti menyediakan gimnasium yang lengkap serta restoran yang mempunyai banyak pilihan makanan.
Katanya, bagi memudahkan pekerja, syarikat turut menyediakan pusat jagaan harian untuk anak-anak kakitangan pada kadar berpatutan iaitu A$20 (RM58.70) sehari berbanding A$180 (RM529) di luar.
“Ibu bapa tidak perlu risau. Kami juga sediakan jururawat dan doktor. Tinggalkan anak anda, kami akan beri mereka makan dan anda boleh terus bekerja di pejabat,” katanya.-AGENSI











