SYDNEY: Seorang juruterbang maut selepas helikopternya terhempas di atas bumbung sebuah hotel di bandar Cairns, Queensland Utara, awal hari ini.
Pesawat itu melanggar hotel DoubleTree by Hilton sekitar pukul 1.50 pagi (waktu tempatan), menyebabkan kebakaran dan memaksa ratusan pelanggan hotel dipindahkan.
Polis Queensland mengesahkan satu-satunya mangsa terkorban melibatkan juruterbang helikopter yang maut di tempat kejadian.
Dua tetamu hotel melibatkan seorang lelaki berusia 80-an dan wanita 70-an cedera serta dilaporkan stabil di hospital.
Pelancong British, Alastair Salmon yang menginap di hotel itu berkata, dia tersedar selepas mendengar dentuman kuat dari biliknya.
Dua bilah kipas helikopter itu tercabut dan jatuh di esplanade serta di dalam kolam renang hotel, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Jalan di sekitar hotel ditutup dan polis mengisytiharkan situasi kecemasan di lokasi kejadian.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, pihaknya menghantar penyiasat bagi mengenal pasti punca nahas.- BBC










