KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) tidak tunduk kepada sebarang ugutan sebaliknya akan terus komited bagi membanteras sehingga ke akar umbi isu pencerobohan tanah haram di negeri ini.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pencerobohan tanah secara haram merupakan isu yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.
“Isu penerokaan tanah secara haram yang berleluasa ketika ini dan berlaku puluhan tahun lalu mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil negeri.
“PPNP konsisten dalam perkara ini. Kita tidak pernah takut bertindak dan tidak tunduk kepada ugutan mahupun cemuhan.
“Kita mahu penceroboh dikenakan tindakan seperti mana dilakukan kepada orang lain menerusi penyelesaian yang adil membabitkan semua isu pencerobohan mengikut lunas dan batasan undang-undang,” katanya di sini hari ini.
Rabu lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan bertitah, pihak berkuasa diarah menangani isu pencerobohan tanah secara haram dengan tegas dan bersepadu di seluruh negeri ini bagi mengelakkan kerugian besar hasil kepada kerajaan.
Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, banyak kerugian sudah ditanggung kerajaan negeri susulan penerokaan tersebut.
Sebelum itu, Sultan Pahang dilaporkan bertitah, demi hawa nafsu dan mementingkan wang ringgit, segelintir individu sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini ‘dijajah’ terang-terangan oleh pendatang asing.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebagai contoh, tanah-tanah di Cameron Highlands misalnya, yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, PPNP menjunjung titah Sultan Pahang dan akan terus memainkan peranan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab termasuk yang bersekongkol menceroboh tanah kerajaan dibawa ke muka pengadilan.
Tegasnya, semua tanah milik kerajaan yang diteroka secara haram sama ada untuk pertanian, perumahan mahupun perindustrian perlus dirampas kembali.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memacu kegemilangan negeri khususnya daripada sudut pembangunan ekonomi.
“PPNP juga mengenal pasti terdapat kes-kes pencerobohan tanah terutama melibatkan penanaman kelapa sawit. Ini juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan segera.
“Penceroboh dipercayai menggaji pekerja asing secara tidak sah di kawasan ceroboh tanpa membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri. Ini sekali gus menutup peluang pekerjaan penduduk tempatan.
“Tauke-tauke ladang haram ini hidup mewah dan tinggal di bandar besar, berbelanja di sana. Ini salah dan perlu diperangi semua pihak sebagai satu jihad,” tegasnya. – UTUSAN










