Jual syarikat Felcra: Ahmad Jazlan beri tempoh tujuh hari buat laporan pada SPRM

Jual syarikat Felcra: Ahmad Jazlan beri tempoh tujuh hari buat laporan pada SPRM

AHMAD Jazlan Yaakub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengerusi Felcra Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub memberi tempoh tujuh hari kepada pemimpin pembangkang supaya membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait dakwaan mengatakan beliau telah menjual syarikat milik kerajaan itu kepada mana-mana pihak termasuk bukan bumiputera.

Bekas Ahli Parlimen Machang itu berkata, beliau sedia memberikan kerjasama penuh sekiranya SPRM membuka siasatan.

“Saya tidak takut kerana saya dipihak yang benar. Oleh itu, saya beri tempoh tujuh hari untuk mereka membuat laporan SPRM.

“Jika benar saya bersalah, saya sendiri akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felcra,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Temu Mata bersama Warga Peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Masyarakat Renok di Dewan Gerakan Desa Wawasan Kampung Renok Baru di sini hari ini

Terdahulu, Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard mendesak Pengerusi Felcra membuat penjelasan berhubung penjualan kilang sawit yang merugikan agensi itu.

Dakwanya, ia rentetan beberapa sumber sejak hampir sebulan lalu tampil berjumpa dengannya dan menyerahkan beberapa set dokumen berkenaan penjualan kilang Felcra.

Ahmad Jazlan pada masa sama, bersumpah bahawa beliau tidak pernah menjual kilang agensi berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk bukan bumiputera, sebagaimana yang didakwa.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah yang amat besar terhadap dirinya.

“Dakwaan itu tidak pernah berlaku sama sekali. Jangan kata saya menjual kilang, satu skru pun saya tidak pernah menjual sepanjang memegang jawatan ini.

“Susulan fitnah terbabit, saya sudah membuat laporan polis kelmarin di Balai Polis Gua Musang dan meminta pihak peguam menghantar notis saman terhadap pemfitnah terbabit,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN