Johari sedia lanjutkan waktu perbahasan Belanjawan 2025

Johari sedia lanjutkan waktu perbahasan Belanjawan 2025

JOHARI Abdul (tengah) diiringi Mohd. Amar Nik Abdullah (kiri) ketika melawat Kompleks Kota Darulnaim dalam siri Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sedia melanjutkan waktu perbahasan Belanjawan 2025 sehingga pukul 10.30 malam bagi membolehkan setiap ahli Parlimen mengemukan pandangan sepanjang persidangan itu berlangsung.

Beliau berkata, ketika ini masa maksimum persidangan bermula pukul 10 pagi sehingga 8 malam.

“Tetapi untuk perbahasan belanjawan mungkin kita lanjutkan sehingga pukul 10 atau 10.30 malam. Setiap ahli Parlimen boleh berucap cuma… permintaan saya adalah mereka fokus kepada belanjawan.

“Ia termasuk bagaimana kita boleh mengukuhkan pembangunan negara serta cadangan atau permohonan penambahbaikan di negeri-negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam siri Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang turut disertai Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Johari memberitahu, beliau berharap Belanjawan 2025 lebih baik berbanding sebelumnya.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Katanya, berkemungkinan ia masih terlalu awal untuk makluman mengenai perkara itu disampaikan kepadanya berikutan Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 14 Oktober nanti.

“Saya belum menerima apa-apa berkaitan RUU 355 daripada mana-mana pihak. Lazimnya, sebarang makluman akan diberi dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan.

“Jadi mungkin tempoh masih jauh lagi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN