PONTIAN: Kangs Homestay di Kampung Parit Puteri Menangis, di sini, tidak ketinggalan untuk menghiasi kawasan penginapan dengan Jalur Gemilang dan bendera Johor sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Pemiliknya, Md. Salman Daud, 58, berkata, pihaknya akan memasang kira-kira 200 Jalur Gemilang dan Bendera Johor bagi sama-sama menyemarakkan sambutan tersebut.
Katanya, sepanjang bulan ini, Kangs Homestay turut menerima tetamu yang akan mengadakan perjumpaan keluarga selain kumpulan penunggang motosikal besar dari Singapura.
Menurut pesara polis ini, rumah inap miliknya mempunyai empat pintu dan 10 bilik dengan kadar satu malam RM200 dan RM300 yang turut menyediakan kolam renang bagi kanak-kanak.
“Setiap tahun kami akan sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan supaya pelancong yang datang menginap dapat merasai suasana sambutannya nanti,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Puteri Menangis, disini, baru-baru ini.
Tambah Md. Salman, Kangs Homestay juga menawarkan aktiviti kepada pengunjung seperti memetik buah nanas, melawat kebun kelapa sawit, melihat ternakan kambing dan lembu.
“Kangs Homestay amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan Kampung Parit Puteri Menangis yang pernah meraih Naib Juara Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan pada tahun 2017,” ujarnya.
Ketua Kampung Kawasan ( 1 ) Mukim Ayer Baloi, Mohd. Faizal Md. Rubaai berkata, terdapat 300 rumah dengan 1,500 penduduk di Kampung Parit Puteri Menangis.
Katanya, seperti tahun sebelum ini, beliau meminta setiap rumah memasang Jalur Gemilang dan bendera Negeri Johor bagi menyemarakkan sambutan.









