Istana Bandar perlu dibaik pulih

Istana Bandar perlu dibaik pulih

ISTANA Bandar merupakan satu-satunya tinggalan istana lama Kesultanan Selangor yang berusia 121 tahun dan masih utuh berdiri terletak dekat Kampung Bandar, Jugra, di Kuala Langat, Selangor. – UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Bangunan warisan Istana Bandar yang terletak di Jugra, Banting perlu dibaiki apabila binaan bersejarah itu kini usang dan mengalami pelbagai kerosakan serta boleh membahayakan pengunjung.

Malah, istana berusia hampir 121 tahun itu sewajarnya dibela bagi memastikan nilai sejarah yang mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Selangor kekal menjadi bukti pentadbiran negeri ini lebih sedekad.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak warisan itu mendapati bangunan tersebut terlalu usang walaupun pernah dibaik pulih sebelum ini termasuk dipulihara ketika menjadi pusat tahfiz pada 1990-an.

Antara kerosakan ketara yang kelihatan adalah pada bahagian bumbung yang bocor akibat daripada atap pecah serta tingkap kayu reput menyebabkan hanya beberapa tingkap boleh dibuka.

Malah, keadaan kolah pada bahagian yang bertentangan dengan dapur dan dipisahkan dengan tembok itu pula kelihatan keruh dan dibimbangi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Kuratornya, Nor Hazita Sumali ketika ditemui berkata, Istana Bandar merupakan satu-satunya tinggalan istana paling tua yang masih kukuh berdiri dan dibina ketika zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ala’ Eddin Sulaiman Shah pada 1898.

“Istana yang mempunyai tujuh blok dan 40 buah bilik itu merupakan tinggalan sejarah penting yang perlu dipelihara kerana ia cukup unik dan menjadi bukti berkaitan dengan kemajuan pentadbiran Kesultanan Selangor.

“Meskipun sudah lebih sedekad, istana tersebut kekal masih kekal berdiri dan kini menjadi tarikan kepada pengkaji-pengkaji seni bina kerana ia mempunyai seni bina daripada Timur Tengah, China dan zaman kolonial British,” katanya.

Tambahnya, selain tarikan penyelidik, bangunan yang pernah menjadi istana hinggap Sultan Ala’ Eddin dan kerabat diraja itu kini sering dijadikan lokasi penggambaran telefilem, drama, video klip muzik dan gambar pasangan pengantin.

Malah, beliau turut memaklumkan jika istana tersebut dipulihara dan dibaik pulih segala kerosakannya, ia mampu meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung dari segenap lapisan kerana tarikannya bukan berkaitan sejarah semata-mata.

“Istana Bandar yang kini dijadikan muzium memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenakan busana tradisional Melayu dari pelbagai negeri dan bergambar di sekitar kawasan istana, sekali gus memberi pengalaman menarik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kerja baik pulih dan pemuliharaan istana tersebut tidak semestinya perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata sebaliknya ia melibatkan kepentingan semua dan menyeru pelbagai pihak termasuk swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk membantu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×