TAMPIN: Sebanyak RM780,000 telah diperuntukkan kerajaan Negeri Sembilan sejak empat tahun lalu bagi melaksanakan Insentif Galakan Isbat Hafazan al-Quran Negeri Sembilan (Isbat) iaitu bertujuan meningkatkan kualiti penghafaz al-Quran di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengambilan bagi insentif berkenaan bakal memasuki kohort ketiga pada bulan Jun tahun hadapan dengan penambahbaikan dari segi syarat antaranya perlu memiliki tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Menurutnya, program berkenaan adalah bagi membolehkan para penghafaz al-Quran dapat memberi manfaat untuk menjalankan khidmat atau mendidik masyarakat termasuk kepada imam dan bilal di daerah masing-masing.
“Mereka ini menerima elaun bulanan sebanyak RM1,000 selama dua tahun. Program ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2021 setelah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
“Bermula dengan jumlah (para hafazan) seramai 20 orang, mereka ini diuji setiap enam bulan. Kini terdapat seramai 10 orang pemegang Isbat di Seremban seramai 10 orang diikuti seramai lima orang di Port Dickson, Rembau, Jempol, Kuala Pilah, Jelebu dan Tampin masing-masing seramai 5 orang,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Kali yang ke-13 bagi Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) di Gemencheh di sini.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap agar Itqan akan terus memainkan peranan dalam membantu meningkatkan pemahaman al-Quran dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Menurut beliau, untuk tujuan itu,MAINS dan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga telah mengambil inisiatif mewujudkan bantuan biasiswa penuh bagi para pelajar yang sudah khatam 30 juzuk serta berjaya mendaftar sebagai pelajar baharu di Itqan.
“Bagi para pelajar yang belum khatam 30 juzuk, pihak MAINS turut menyediakan bantuan Dermasiswa kepada mereka. Saya difahamkan, bantuan biasiswa penuh ini telah melibatkan tiga kohort pengambilan pelajar, iaitu tahun 2022, 2023 dan 2024,” katanya.
Jelas Menteri Besar, inisiatif berkenaan diharap memboleh Itqan melahirkan para pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Diploma Tahfiz Al-Quran pada setiap tahun.-UTUSAN.










