KUALA LUMPUR: Bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghasut bagi mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim, Mei lalu.
Peguam bela Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali semalam.
“Pihak kami akan mengemukakan representasi tetapi saya bersama seorang lagi peguam iaitu Logen Eskander Abdullah masih belum sempat untuk menyediakan representasi berkenaan. Oleh itu, kami memohon tarikh 18 Oktober ini untuk keputusan representasi berkenaan,” kata Muhammad Rafique.
Siti Aminah menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi keputusan representasi berkenaan.
Prosiding semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah bersama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badius Zaman Ahmad.
Wan Muhammad Azri didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. menghadap YDPA di laman Twitter atau X miliknya.
Sebelum ini, media melaporkan, pada 2 Mei lepas, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di laman Twitter atau X miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










