Festival Majestic Johor sasar 600,000 pengunjung

Festival Majestic Johor sasar 600,000 pengunjung

PANDAK Ahmad (tiga, kanan) dan Sharil Nizam Abdul Rahim (tiga, kiri) serta beberapa wakil rakan penganjur Festival Majestic Johor 2024 bergambar selepas sidang akhbar di Kota Iskandar. – UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penganjuran Festival Majestic Johor yang memasuki edisi ketiga tahun ini menyasarkan 600,000 pengunjung.

Walaupun tempoh penganjuran lebih singkat, iaitu lima hari berbanding lebih seminggu sebelum ini, namun Tourism Johor yakin sasaran itu mampu dicapai kerana bakal menampilkan pelbagai acara dan aktiviti yang lebih menarik.

Malah, menurut Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim, pihaknya telah mengadakan promosi di Riau, Indonesia dan Singapura supaya dapat menarik kedata­ngan pelancong dari negara jiran tersebut mengunjungi festival yang dijadualkan berlangsung di Puteri Harbour pada 28 Ogos hingga 1 September ini.

“Tarikan utama festival ialah pameran eksklusif kenderaan klasik diraja dan perarakan yang akan menampilkan kebudayaan, persembahan kese­nian etnik budaya Johor serta pancaragam pada 1 September nanti.

“Terdapat juga pertunjukan bunga api dan konsert sempena Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos,” katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran festival itu di sini.

Sharil Nizam berkata, bagi menambah kemeriahan dan keseronokan, perarakan tersebut bakal tampil dengan penuh warna-warni daripada 26 kumpulan kebudayaan dan kesenian serta pancaragam dari pelbagai sekolah.

Malah, persembahan Gendang Bangsa Johor yang menggabungkan persembahan kebudayaan semua kaum di negeri ini bakal menjadi tumpuan para pengunjung.

Bagi melancarkan aliran lalu-lintas sepanjang festival berlangsung, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan menyediakan perkhidmatan bas percuma terus ke tapak festival dari tapak parkir yang disediakan seperti di sekitar bangunan kerajaan di Kota Iskandar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yakin festival tersebut dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke negeri ini, selain memberi limpahan rezeki kepada banyak pihak termasuk pengusaha hotel, restoran dan peniaga.

“Lokasi festival yang mudah dikunjungi dan dekat dengan negara jiran, Singapura dan Indonesia mampu menarik mereka datang menyaksikan kemeriahan dan keunikan Johor yang ditampilkan sempena festival ini,” katanya.

Festival Majestic Johor pertama kali dianjurkan pada 2022 merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam menyemarakkan sektor pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi tempatan menerusi impak aktiviti rantaian daripada sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN