WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sedang menjalankan siasatan susulan aduan calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump yang mendakwa komunikasi dalaman kempennya digodam oleh pemerintah Iran.
Pasukan kempen Trump Sabtu lalu diberitahu Microsoft bahawa satu daripada laman webnya digodam Iran, namun Teheran hanya mendapat maklumat yang boleh diakses pengguna awam.
Kerajaan Iran bagaimanapun menafikan tersebut.
Penyelidik Microsoft melaporkan, terdapat cubaan oleh Iran untuk menggodam akaun pegawai kanan AS berkaitan kempen Pilihan Raya pada Jun lalu.
Laporan itu menyatakan, penggodam berjaya mengawal satu akaun milik seorang bekas penasihat politik dan menggunakannya untuk ‘menyerang’ akaun pegawai berkenaan.
Identiti kedua-dua individu itu tidak didedahkan.
Kelmarin, Trump mendedahkan pihaknya berdepan ancaman penggodam selepas beberapa dokumen sulitnya dibocorkan kepada pihak media.
Ia susulan laporan oleh laman web berita AS, Politico yang mendedahkan menerima e-mel mengandungi dokumen kempen termasuk kajian sulit tentang calon Naib Presidennya, Senator JD Vance.
Menurut Politico, pihaknya telah mengesahkan ketulenan dokumen berkenaan.
Jurucakap kempen yang enggan dinamakan memberitahu BBC, dokumen-dokumen itu diperoleh secara haram daripada sumber asing yang bermusuhan dengan AS, dipercayai mempunyai kaitan dengan Iran.- AGENSI










