Estet Ikan jadi lokasi pesta mengoca - Utusan Malaysia

Estet Ikan jadi lokasi pesta mengoca

KIRA-kira 300 orang menyertai Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh, Tampin.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sebuah kolam terbiar dalam sebuah kawasan tanah adat di Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh di sini menjadi tumpuan ramai apabila ia menjadi lokasi acara mengoca (menangkap ikan menggunakan tangan) sejak dua tahun yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, kolam terbiar itu kemudian dibangunkan dengan ternakan ikan air tawar selain turut menjadi lokasi riadah pengunjung dalam dan luar daerah.

“Melihat kepada sambutan positif orang ramai, pesta mengoca telah diadakan bermula tahun 2022 dan penganjuran tahun ini turut diserikan dengan acara melepaskan 15 ekor itik ke dalam kolam yang telah dikeringkan.

“Program ini adalah untuk membudayakan aktiviti mengoca bagi masyarakat kampung di samping mengeratkan silaturahim antara peserta. Sasaran kita pada masa hadapan agar ia dijalankan lebih meriah dengan pelbagai aktiviti sampingan,” katanya di sini.

Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Seorang peserta, Zulkarnain Md Zin, 38, dari Jemapoh, Kuala Pilah, pula berkata, dia sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana aktiviti mengoca dan mengakui teruja untuk menyertai program tersebut buat kali pertama.

Menurutnya, walaupun tidak menawarkan sebarang hadiah, dia seronok kerana dapat berkumpul dengan ramai peserta dari pelbagai latar belakang, sekali gus menghidupkan semula aktiviti masyarakat seperti mengoca.

“Memang seronok kerana ikan yang berjaya ditangkap seperti tilapia ini boleh dibawa pulang, saya harap program seumpama ini dapat diteruskan pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, ujar Arthur, Estet Ikan yang dikendalikan oleh myKP Sungai Jerneh merupakan salah satu daripada inisiatif Jabatan Perikanan bagi meningkatkan kadar pengeluaran ikan air tawar, terutamanya di kawasan tanah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×