KUALA LUMPUR: Seramai 20 warga asing, sebahagian besar dari benua Afrika ditahan polis atas pelbagai kesalahan dalam serbuan ke atas beberapa unit kediaman di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang di sini, hari ini.
Tangkapan kesemua suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu dilakukan menerusi Operasi Pintas Wakanda oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Operasi bermula pada pukul 10.30 pagi itu turut disertai pasukan dari Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-Pemerdagangan Orang (NSO MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Utusan Malaysia yang turut sama dalam operasi mendapati seorang lelaki warga asing dilihat bertindak agresif dan enggan bekerjasama ketika polis menjalankan pemeriksaan di unit kediamannya.
Bagaimanapun, polis berjaya mengatasi situasi berkenaan dan seterusnya lelaki itu berjaya ditahan.
Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, banyak insiden kurang disenangi dilaporkan berlaku membabitkan warga Afrika di kawasan terbabit
“Pihak pengurusan ada terima aduan mereka kerap membuat bising kerana mabuk selain bergaduh sampai keluar rumah dalam keadaan berbogel. Ada juga kes, pihak pengawal menegur seorang lelaki Afrika, tetapi dimarahi semula dan dipukul,” katanya ketika ditemui di sini.
Pasukan serbuan dilihat turut menggunakan khidmat dua anjing pengesan dari Unit K9 JSJ bagi mengesan sebarang bahan terlarang seperti dadah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Mangsa yang berusia 24 tahun itu diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta ATIPSOM 2007. Kita turut menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing berusia 33 dan 35 tahun mengikut Akta 12 Akta ATIPSOM 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Akta 12 Akta ATIPSOM 2007 adalah berkaitan kesalahan memperdagangkan orang termasuk ekploitasi seks.
Dalam pada itu, kata beliau, pasukan serbuan menahan 18 warga asing termasuk dua kanak-kanak atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada dua wanita warga Uganda, tiga wanita warga Tanzania dan seorang wanita warga Maldives.
“Turut ditahan, 12 warga Nigeria terdiri daripada tiga wanita dan lima lelaki serta dua kanak-kanak, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Antara kesalahan dikesan berkaitan Seksyen 15 (1) (c), Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63. Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










