LONDON: Ribuan pekerja Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) beragama Islam bimbang terhadap keselamatan mereka selepas menerima ugutan dan mengalami penderaan bersifat perkauman, susulan rusuhan anti-Islam yang tercetus di United Kingdom (UK) minggu lalu.
Presiden Persatuan Perubatan Islam Britain (Bima), Dr Salman Waqar berkata, pihaknya tidak pernah menerima ugutan sebegitu sebelum ini, yang disifatkannya melampau dan keterlaluan.
“Banyak aduan diterima terutamanya dari Belfast dan Greater Manchester apabila ada doktor terpaksa menutup klinik mereka lebih awal.
“Ada yang terperangkap di tempat kerja serta terpaksa menaiki teksi untuk berulang alik ke tempat kerja, malah ada yang enggan ke rumah pesakit,” katanya seperti dilapor akhbar The Guardian.
Dr Salman turut berkongsi video dan tangkapan skrin mesej teks daripada ahlinya berkaitan penderaan yang mereka alami minggu lalu, termasuk ancaman bunuh.
“Kami dapat bayangkan ketakutkan mereka sehingga ada yang bimbang untuk pergi kerja dan membuatkan mereka berfikir kali mengenai kerjaya mereka sekarang,” ujarnya.
Persatuan Perubatan Mesir Britain (Bema) yang mewakili kira-kira 11,000 kakitangan perubatan turut menyuarakan kebimbangan sama apabila ahlinya menerima ancaman serupa.
“Diskriminasi antara kaum yang dialami ahli kami telah mengganggu keupayaan mereka untuk melakukan kerja secara berkesan,” katanya.
Rusuhan ganas yang dicetuskan golongan sayap kanan merebak ke seluruh England berikutan maklumat palsu mengenai identiti pelaku kes pembunuhan tiga kanak-kanak di Southport tersebar.- AGENSI










