Desakan Amanah bukti kerjasama PH-BN rapuh - PN - Utusan Malaysia

Desakan Amanah bukti kerjasama PH-BN rapuh – PN

AHMAD MUZZAFFA SHAH BAKHTIAR SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dicetuskan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) terhadap UMNO membuktikan kerjasama rapuh antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kluang, Ahmad Muzzaffa Shah Bakhtiar Shah berkata, desakan itu turut membuktikan bahawa Amanah yang merupakan salah sebuah parti gabungandalam PH tidak menghormati rakan kerjasama dan perjuangan mereka hanya tertumpu terhadap niat untuk jawatan serta kuasa semata-mata. 

Katanya, sebagai rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya pemimpin Amanah Kluang menumpukan perhatian terhadap isu-isu untuk mengatasi masalah rakyat, khususnya barang keperluan asas terutamanya beras tempatan yang sudah ‘hilang’ dalam pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perebutan kerusi yang dicetuskan oleh Amanah itu juga membayangkan mereka tidak sensitif dengan perasaan keluarga penyandang kerusi DUN Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia tidak sampai seminggu. 

“Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun hanya mengumumkan kekosongan kerusi tanpa menyatakan tarikh sebenar Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan sebagai tanda menghormati kematian arwah,” katanya di sini.

Ahmad Muzzaffa Shah berkata,  kepimpinan Amanah Kluang seharusnya mencontohi PN yang tidak terburu-buru untuk mengejar jawatan dan kuasa, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti bagi mewakili parti itu. 

Walaupun tanpa ada jawatan dan kuasa, pihak kepimpinan PN Kluang tetap menumpukan kerja-kerja parti untuk membantu rakyat kerana itu adalah fokus utama pihaknya. 

“Sepatutnya pemimpin Amanah kawasan Kluang memahami bahawa kerusi DUN Mahkota adalah kerusi tradisi UMNO sejak sekian lama dan kemenangan wakil parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hanyalah secara kebetulan apabila berlaku penolakan rakyat terhadap BN ketika itu,” katanya.

Semalam, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi hak untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota dengan alasan pernah memenangi kerusi tersebut sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×