Cuba rempuh kenderaan anggota, polis lepas lima tembakan pada kereta suspek curi kabel - Utusan Malaysia

Cuba rempuh kenderaan anggota, polis lepas lima tembakan pada kereta suspek curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis melepaskan lima das tembakan dipercayai bagi menghentikan kenderaan dinaiki suspek kes curi kabel selepas mereka bertindak agresif merempuh kenderaan anggota di Jalan Pekan Batu 11 di Balakong, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi itu, tembakan dilepaskan anggota ke arah tayar kenderaan suspek yang melanggar kenderaan polis serta cuba mencederakan anggota walaupun diarahkan untuk berhenti.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam operasi rondaan curi kabel di kawasan itu.

Katanya, pusat kawalan IPD Kajang menerima makluman awal berkaitan kejadian sekumpulan lelaki menaiki dua kenderaan iaitu jenis Nissan Frontier dan BMW dengan sengaja serta agresif melanggar kenderaan anggota yang sedang melakukan operasi terbabit.

“Ekoran itu, polis melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek yang sedang bergerak melanggar kenderaan polis serta cuba mencederakan anggota polis walaupun diarahkan untuk berhenti.

“Kita turut menahan empat suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun dengan masing-masing mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan dadah.

“Kita turut merampas dua kenderaan milik suspek serta peralatan curi kabel bersama,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, selain Seksyen 379/511 kanun sama kerana cubaan mencuri wayar kabel,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×