GERIK: Lelaki yang didakwa cuba membunuh isterinya dengan mencekik dan menolak ke dalam gaung di Kilometer 31.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli di sini minggu lalu, direman tujuh hari hingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Savinder Singh dalam prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret Gerik, semalam.
Tahanan reman itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju-T berlengan panjang dan seluar jeans berwarna hitam, tiba di pekarangan mahkamah dengan kawalan anggota polis sekitar pukul 8.50 pagi dan dibawa keluar 50 minit kemudian.
Difahamkan, suspek yang juga seorang peniaga ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada Rabu lalu kerana didakwa mencederakan abang kandungnya.
Lelaki terbabit kemudian direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebelum tangkapan semula dibuat polis Gerik sebaik sahaja tempoh remannya berakhir kelmarin.
Media pada 1 Ogos lalu melaporkan, seorang wanita berusia 32 tahun menempuh pengalaman menakutkan apabila nyaris maut di tangan suami sendiri selepas dicekik dan ditolak ke dalam gaung.
Kejadian berlaku ketika wanita terbabit dibawa suspek berusia 39 tahun dari tempat kerjanya di Kuala Lumpur atas alasan mahu pulang ke kampung di Kelantan.
Sepanjang perjalanan, berlaku pertengkaran mulut antara mereka di mana suspek bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau dan mencekiknya sebelum menolak wanita itu jatuh ke dalam gaung.
Mangsa yang cedera bagaimanapun telah merangkak naik ke bahu jalan dan ditemukan orang awam yang kemudian melaporkan kepada polis.
Difahamkan, lokasi kejadian terletak sebelum Hentian Royal Belum di mana gaung berkenaan pula dikatakan sedalam 10 meter. – UTUSAN










