JOHOR BAHRU: Penentuan calon serta pembahagian kerusi bagi Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana pilihan raya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan gabungan secara musyawarah.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, gabungan politik itu berpegang kepada amalan lazim tersebut tanpa perlu didedah dan dibincangkan kepada pihak media massa.
Katanya, mana-mana pihak tidak perlu membuat tuntutan terbuka dalam media massa, sebaliknya memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi gabungan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi.
“Rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) dan DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat.
“Kami juga berpegang kepada prinsip ‘incumbency’, iaitu kerusi yang dimenangi pada PRU (pilihan raya umum) dan PRN (pilihan raya negeri) sebelum ini akan ditandingi parti penyandang dalam PRK akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Hari ini, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijangka diadakan tidak lama lagi susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN pada 2 Ogos lalu.
Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain dilaporkan berkata, desakan itu dibuat kerana Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRU14 dan turut bertanding kerusi itu dalam PRN pada 2022.
Dalam pada itu, Chin Tong yang Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, prinsip ‘incumbency’ yang dipegang selama ini turut dihormati parti lain dalam gabungan tersebut.
“Ini sama seperti ketika PRK Pulai dan Simpang Jeram dan juga dalam PRK-PRK yang lain,” tegasnya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota, pada 13 Ogos ini. – UTUSAN










