PUTRAJAYA: Tanggapan pasaran pakaian terpakai atau ‘bundle’ di negara ini sudah mati tidak benar kerana ia terus berkembang pesat dalam alam maya disokong platform media sosial.
Bekas ejen hartanah, Muhammad Rafiq Che Jefry, 32, atau lebih dikenali sebagai Rafiq membuktikan dunia bundle yang baru diceburinya secara aktif sejak setahun lalu umpama lubuk duit.
Bayangkan, dalam tempoh dua jam sahaja, Rafiq mampu menjual purata 100 helai baju ‘skoda’ (baju terpakai kualiti seperti baharu) menerusi sesi siaran langsung TikTok.
Bukan itu sahaja, Rafiq yang juga anak jati Selayang, Selangor pernah mencapai jualan 250 helai baju skoda dalam tempoh dua jam serta 300 helai dalam tempoh tiga jam.
“Istilah ‘bundle sudah mati’ tidak pernah wujud sebaliknya ia mampu pergi jauh. Suka atau tidak ramai orang sudah mula beralih kepada bundle. Baju bundle ni baju ‘original’ cuma ia terpakai sahaja.
“Lebih penting, pakaian bundle boleh dimiliki pada harga murah, namun pada kualiti seperti baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, setiap helaian baju skoda yang dijualnya sudah siap dibasuh dan digosok terlebih dahulu sebelum dijual pada harga antara RM1 hingga RM20 bergantung pada kualiti dan jenama sedia ada.
Rafiq berkata, dia mengambil ‘tokol’ (guni pakaian) dari Korea Selatan dan ramai yang tidak tahu bahawa guni pakaian terpakai dari negara itu mempunyai kualiti elok biarpun bukan dari jenama terkenal.
Menurutnya, dia akui konsep jualan di TikTok ada cabaran tersendiri kerana setiap peniaga perlu bersaing dengan ribuan peniaga lain.
“Ketika sesi jualan siaran langsung, saya lebih suka berniaga sambil berhibur dengan iringan alunan muzik rancak bagi mencetuskan aura positif dan menarik pelanggan.
“Tidak ramai pemain bundle menerapkan konsep hiburan dalam sesi jualan secara langsung menyebabkan sesi jualan itu jadi hambar dan tiada pengikut,” katanya.










