Budak 12 tahun didakwa pandu Viva

Budak 12 tahun didakwa pandu Viva

SEORANG kanak-kanak lelaki yang tular memandu Perodua Viva di sebuah taman perumahan di Puchong minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang, Selangor, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang kanak-kanak lelaki yang tular memandu Perodua Viva di sebuah taman perumahan di Puchong ming­gu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan memandu kereta di bawah umur.

Bagaimanapun, kanak-kanak berusia 12 tahun selaku Orang Kena Saman (OKS) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan dalam pro­siding secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, ka­nak-kanak tersebut didakwa telah memandu Perodua Viva di atas jalan yang mana umurnya sewaktu kejadian tersebut adalah 12 tahun 3 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pukul 6.30 petang pada 29 Julai lalu mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39(5) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, bapanya yang merupakan warga Pakistan dan bertaraf Pemaustatin Tetap (MyPR) berusia 53 tahun selaku OKS, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan anak lelakinya memandu kereta.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik kereta jenis Perodua Viva, didapati telah membenarkan anaknya berusia 12 tahun memandu kereta sama di atas jalan.

Kesalahan dilakukan di tempat dan waktu sama pukul 6.30 petang pada 29 Julai lalu mengikut Seksyen 39(5) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang turut memperuntukkan hukuman yang sama.

Majistret Muhammad Bukhori membenarkan kanak-kanak itu diikat jamin RM500 manakala bapanya diikat jamin RM2,000.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, tertuduh berusia 53 tahun berhadapan satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabai dan gagal mengawasi anak lelakinya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai yang mempu­nyai pemeliharaan terhadap anak lelakinya berusia 12 tahun telah mengabai dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkannya kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi kanak-kanak tersebut sehingga kanak-kanak itu memandu kenderaan.

Kesalahan itu didakwa di Taman Putra Impiana, Puchong di sini pukul 7.30 petang pada 28 Julai lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (akta 611) yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu seksyen itu juga memperuntukkan hukuman tambahan iaitu menyempur­nakan suatu bon dengan berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Hakim Ahmad Fuad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dila­rang mengganggu saksi-saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Mahkamah Sesyen itu kemudian turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin dan Nor Sabrina Zubari, manakala kanak-kanak lelaki itu dan bapanya diwakili peguam Nabilla Rosli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN