LONDON: Britain dan Mesir meminta syarikat penerbangannya mengelak ruang udara Iran dan Lebanon, ketika ketegangan di wilayah berkenaan semakin memuncak ekoran pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran minggu lalu.
Notis Britain kepada syarikat penerbangannya untuk menghindari ruang udara Lubnan dikeluarkan beberapa jam selepas Mesir mengarahkan semua syarikat penerbangannya untuk menghindari ruang udara Iran selama tiga jam awal pagi ini.
Di Mesir, Kementerian Penerbangan Awam Mesir mengesahkan notis tersebut bertujuan untuk mengurangkan risiko keselamatan penerbangan berikutan pemberitahuan yang diterima daripada pihak berkuasa Iran yang akan melaksanakan latihan ketenteraan di ruang udaranya hari ini.
Jelas kementerian, arahan itu dikuatkuasakan terhadap semua pengendali penerbangan Mesir termasuk syarikat penerbangan kecil.
Reuters melaporkan, syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia juga sedang menyemak jadual mereka untuk menghindari ruang udara dua negara berkenaan dan membatalkan penerbangan ke Israel dan Lebanon.
Syarikat penerbangan yang beroperasi di AS, United Airlines, semalam memaklumkan, penerbangannya ke Tel Aviv yang dihentikan pada 31 Julai kerana kebimbangan keselamatan, masih ditangguhkan.
Pesaingnya, Delta Air Lines turut menghentikan penerbangannya antara New York dan Tel Aviv sehingga 31 Ogos.
Laman web penjejakan penerbangan Flightradar24 pula melaporkan, syarikat-syarikat penerbangan Britain tidak terbang ke Lebanon buat masa ini. – AGENSI










