GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) mendedahkan Kerajaan Kelantan telah meluluskan lebih 13,0200 hektar penerokaan tanah hutan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak tahun 2022.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) BN DUN Nenggiri Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kelulusan penerokaan hutan itu atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong melibatkan hutan Ulu Nenggiri dan Mukim Bertam.
“Disaat Kerajaan Kelantan (Pas Kelantan) mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang telus dan adil, Rakyat dibawah terutama di Nenggiri bergelut sekian lama untuk dapatkan geran milik tanah.
“Kerajaan Pas Kelantan dalam diam-diam telah memberikan pelbagai konsesi penerokaan hutan kepada banyak syarikat termasuk ia jatuh kepada syarikat bukan bumiputera melalui pelbagai kaedah seperti ‘Ali Baba’ oleh pihak penerima pertama.
“Terdapat beberapa Kelulusan penerokaan hutan ini dibawah yang kebanyakan terlibat dalam pengeluaran balak dari hutan Nenggiri amat mencurigakan disebalik pendirian Kerajaan Negeri kononnya menjaga hak rakyat,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat di Bukit Cekati di sini, hari ini.
Mohd. Syahbuddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Gua Musang memberitahu, keluasan itu melibatkan 54 kelulusan.
Katanya, BN menuntut penjelasan daripada Kerajaan Kelantan untuk berterus terang dengan rakyat Nenggiri berapakah kelulusan sebenar yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan untuk meneroka tanah hutan di Ulu Nenggiri.
“Pada masa sama, kita turut mempersoalkan alasan yang membolehkan syarikat bukan bumiputera yang tidak sampai setahun mendapatkan projek ladang hutan ketika rakyat biasa terpaksa naik turun pejabat tanah untuk mendapatkan sebidang tanah untuk kediaman.
“Saya lihat, daerah ini terutama kawasan Nenggiri seolah-olah hanya dijadikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan dana dari tauke pembalakan tanpa ada manfaat kepada rakyat Nenggiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Syahbuddin berkata, pemimpin Pas Kelantan tidak perlu bercerita mengenai pembangunan di daerah ini kerana Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah melakukan yang terbaik untuk membangunkan kawasan ini.
“Setiap kali Bajet Negeri Kelantan daerah Gua Musang sering ketinggalan terutamanya kebajikan seperti rumah mampu milik kerajaan negeri.
“Sudah 34 tahun rakyat terutamanya Orang Asli di kawasan Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar kerana hasilnya diperolehi oleh kerajaan negeri dan penerima pajakan atau projek tanpa ada pulangan yang wajar kepada rakyat Nenggiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pas menafikan dakwaan mengatakan kerajaan Kelantan memberikan pajakan tanah termasuk kawasan pembalakan kepada orang asing.-UTUSAN










