TELUK INTAN: Kerja-kerja mendalamkan saliran air terutama sungai di sini giat dijalankan bagi mengatasi banjir semasa musim hujan dan fenomena air pasang besar.
Tinjauan mendapati kerja membersihkan sungai menggunakan jentera besar dilakukan di Sungai Kerawai berdekatan Kampung Bahagia di sini yang pernah berlaku banjir sebelum ini.
Banjir kerap berlaku di kawasan rendah di Teluk Intan semasa musim hujan antaranya di sekitar bandar Teluk Intan, Kampung Kilang Padi, Kampung Pasir Bedemar dan Kampung Sungai Pak Kalong.
Beberapa hari lalu, hujan lebat terutama pada petang menyebabkan paras air di Sungai kerawai, Sungai Bidor dan Sungai Perak mencatat kenaikan dan melimpah ke kawasan rendah namun tidak menyebabkan banjir.
Seorang pengusaha bot memancing di sini, Budiman Kaidir berkata, sejak tiga hari lalu, air sungai melimpah namun tidak banjir.
Menurutnya, keadaan itu membimbangkan selepas beberapa kawasan di bandar ini pernah dinaiki air ketika kejadian air pasang besar pada tahun 2014.
“Saya percaya ketika ini sudah masuk musim hujan kerana sejak kebelakangan ini boleh dikatakan setiap hari hujan terutama pada sebelah petang.
“Ini menyebabkan paras air sungai di sini semakin naik. Saya memuji tindakan awal pihak berkenaan yang membersihkan sungai di sekitar bandar ini bagi memastikan aliran air tidak tersekat sekali gus mengelak banjir.
“Sejak hujan kerap, penyewa bot memancing agak berkurangan kerana air sungai deras, udang atau ikan pun susah nak dapat,” ujarnya.










