Bekas atlet bantu SK Kampung Tanjong juara olahraga daerah - Utusan Malaysia

Bekas atlet bantu SK Kampung Tanjong juara olahraga daerah

NASHARUDDIN Mohd. Nor (baris belakang, sembilan dari kiri) bersama warga sekolah pada Majlis Sambutan Kejayaan Olahraga SKKT, Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kehadiran seorang bekas atlet negara era 1980-an yang tampil berkongsikan pengalamannya telah berjaya membantu Sekolah Kebangsaan Kampung Tanjong (SKKT) Kota di sini mencipta sejarah buat pertama kalinya muncul johan keseluruhan kejohanan olahraga olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Rembau baru-baru ini.

Lebih membanggakan, sekolah yang sudah berusia 110 tahun yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) itu berjaya membawa pulang tujuh pingat emas dan memecahkan enam rekod kejohanan walaupun hanya menghantar kira-kira 14 orang murid ke kejohanan itu.

Bekas atlet berkenaan, Nasharuddin Mohd Nor, 65, berkata, semuanya bermula secara kebetulan apabila dia melalui kawasan sekolah tersebut selepas membersihkan kawasan kubur berhampiran.

Dia yang merupakan Pengerusi Masjid Kariah Seberang Paya memberitahu, telah terlihat murid-murid sekolah berkenaan sedang berlatih dan merasakan mereka mempunyai teknik dan fizikal yang baik dalam sukan olahraga.

“Saya turun dari kereta dan pergi ke guru sukan mereka, saya katakan semua murid-murid itu berpotensi jadi jaguh. Guru mereka memang tidak tahu selama ini ada bekas juara kebangsaan dan juga pemenang pingat Perak di Sukan SEA Manila 1981 bagi acara larian berpagar ada di kampung ini.

“Kemudian saya membantu melatih murid-murid ini bagi meningkatkan teknik mereka seperti merejam lembing, menerima baton dan pecut. Alhamdulillah, guru sukan mereka, guru besar, keluarga murid juga memberikan sokongan sangat baik sehingga murid-murid ini berjaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kejayaan Olahraga SKKT, di sini.

Ujar Nasharuddin lagi, dia berhenti kerja di sebuah syarikat telekomunikasi dan mula menetap di kampung itu sejak dua tahun lalu bersama isteri yang juga bekas atlet negara, Fatimah Abu Saman, 65, bagi menjaga ibunya.

Menurutnya, walaupun hanya seminggu dapat berkongsikan pengalamannya itu, ia mencukupi untuk murid-murid sekolah itu mencipta kejayaan yang sangat baik.

“Saya berharap mana-mana bekas atlet seperti saya dapat menabur bakti dalam mendidik serta menggilap potensi anak kampung dalam bidang sukan. Kita berikan semangat dan didikan pada mereka untuk dapat lebih jauh dalam bidang ini,” katanya yang turut menyertai perarakan murid-murid mengelilingi kampung menaiki lori susulan kejayaan tersebut.

Dalam pada itu, Guru Besar SKKT, Samarina Samon berkata, sekolah berkenaan berjaya mencatatkan enam rekod baharu pada kejohnanan olahraga MSSD Rembau bagi acara 100 meter perempuan, rejam lembing lelaki dan perempuan, lompat jauh perempuan, 4×100 meter dan 4×200 meter perempuan, sekali gus merangkul juara keseluruhan.

“Sekolah ini mempunyai 113 murid termasuk murid pra sekolah. Sejak sekolah ini ditubuhkan tidak pernah dapat johan. Saya sebagai guru besar bersyukur dengan kerjasama ibu bapa, kalau mereka tiada juga tidak kan berjaya macam ini. 

“Guru dan komuniti setempat juga banyak membantu sekolah dalam menjulang johan peringkat daerah serta kemenangan Olahragawati Terbaik Sekolah Rendah,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN