GUA MUSANG: Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengesahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri menerima peruntukan lebih RM700,000 untuk membantu penduduk di kawasannya tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu disalurkan melalui pejabat daerah.
“Ambo (saya) nak cerita kita (Kerajaan Kelantan) bagi RM713,500 kepada DUN Nenggiri dekat sejuta untuk tahun ini sahaja,” katanya ketika berucap semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Kampung Pasir Tumbuh di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, bekas wakil rakyat itu disifatkan sebagai pemimpin yang gagal berkhidmat dengan baik apabila hanya menggunakan 10 peratus jumlah dana yang diberikan untuk membantu rakyat.
“Dia guna berapa saya kira semuanya, setakat ini melalui pejabat tanah dia boleh guna peruntukan itu nak bagi sesiapa untuk bantu rakyat, tapi dari jumlah kerajaan negeri beri dia guna hanya RM72,000 iaitu 10 peratus sahaja.
“Kita bagi semua peruntukan kepada wakil rakyat. Peruntukan sudah ada dalam tangan tetapi kenapa tak guna dan buat cerita kata kerajaan negeri tak beri peruntukan. Ini fitnah, dia juga fitnah kata kerajaan negeri beri kepada penyelia DUN, dia sedar atau tidak kawasan itu penyelia tidak ada pun,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Azizi mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri semasa menjadi wakil rakyat.
Katanya, dia terpaksa menggunakan duit peribadinya ketika bertemu rakyat sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN










