KOTA BHARU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd. Azizi Abu Naim mendakwa tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Kelantan sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.a
Mohd. Azizi yang dilucutkan keahlian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu berkata, setiap kali turun padang bertemu rakyat beliau akan menggunakan wang peribadinya sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, isu tersebut sudah dipanjangkan kepada pimpinan parti termasuk Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md. Nor.
“Namun jawapan yang saya dapat ‘bersabarlah… kita perlu sedar diri kita hanya enam kerusi’. Itulah alasan yang saya terima setiap kali perkara itu dibangkitkan.
“Apabila saya hilang kerusi dan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK), mereka menuduh saya tamak…sedangkan tidak semua ADUN Kelantan menerima peruntukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Azizi pada masa sama mencabar pimpinan Pas mengemukakan bukti bahawa beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.
Katanya, semasa pimpinan Pas berceramah pelbagai serangan peribadi dibuat mengatakan beliau sebagai tamak, tidak bersyukur dan sebagainya.
“Saya cabar mereka buktikan bahagian mana yang saya tamak?. Saya minta Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan bukti berapa banyak peruntukan yang Kerajaan Kelantan berikan kepada saya sepanjang saya menjadi ADUN Nenggiri.
“Mereka boleh kata macam-macam sedangkan, hak saya sebagai ADUN, satu sen pun tidak menerima peruntukan daripada mana-mana EXCO. Sedangkan setahu saya setiap ADUN menerima peruntukan sehingga RM1.2 juta setahun.
“Malah, set keperluan asas menerusi Skim al Itqan sebanyak 300 pek setiap bulan untuk diagihkan kepada penduduk miskin juga tidak diberikan kepada saya, sebaliknya diberikan kepada Penyelia DUN Nenggiri,” ujarnya.
Tuan Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, Mohd Azizi disifatkan seorang yang tamak dan sengaja mengaitkan isu peruntukkan semata-mata mahu menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan semua ADUN di Kelantan menerima peruntukan sewajarnya.-UTUSAN










