DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh bersiap sedia menghadapi penularan penyakit bawaan air selepas banjir dahsyat minggu lalu mengorbankan sekurang-kurang 54 nyawa dan menjejaskan berjuta-juta penduduk.
Pegawai Kementerian Pengurusan Bencana memberi amaran wabak penyakit bawaan air mungkin berlaku jika penduduk tidak mendapatkan akses air bersih sebaik banjir surut.
“Keutamaan kami ialah memastikan kesediaan air minuman yang selamat kepada penduduk,” katanya.
Dalam tempoh 24 jam lalu, kira-kira 3,000 orang dimasukkan ke hospital akibat penyakit bawaan air di kawasan yang dilanda banjir, menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan.
Setakat ini, banyak kawasan masih ditenggelami air, menghalang akses penduduk yang terperangkap banjir ke hospital dan klinik.
Meskipun banjir mulai surut di kawasan tertentu, masih ramai mangsa yang terperangkap memerlukan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan pakaian kering, terutama di kawasan terpencil.
Jabatan Meteorologi Bangladesh berkata, keadaan banjir boleh berterusan jika hujan monsun berlanjutan kerana paras air surut dengan perlahan.
Kira-kira 470,000 penduduk dipindahkan di 3,300 pusat perlindungan di 11 daerah yang dilanda banjir, dengan pasukan keselamatan dikerahkan membantu operasi menyelamat.- REUTERS










