POH: Seorang banduan lelaki warga Iran ditahan bersama 76 gram (g) dadah jenis heroin di Penjara Tapah semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 39 tahun itu dibuat pada 1.15 petang di dewan penjara setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika pegawai penjara menghampiri banduan itu yang sedang duduk bersendirian menghadap dinding, dia ternampak lelaki tersebut mengambil sesuatu dari dalam seluar sebelum mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah ke atas lantai.
“Pemeriksaan pada plastik itu kemudian menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 46g dan satu peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu disyaki dadah sama seberat 30g
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM1,900 dan boleh digunakan oleh 50 penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati banduan berkenaan telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
Katanya, banduan yang memiliki 10 rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan empat rekod jenayah itu juga telah berada di Penjara Tapah sejak tahun 2018.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bahan terlarang itu diperoleh dan kepada siapa dadah itu diedarkan. Difahamkan, Jabatan Penjara turut menjalankan siasatan dalaman berkaitan kes ini,” ujar beliau.
Sementara itu, mengulas sama ada tangkapan ke atas banduan itu mempunyai kaitan dengan kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah, minggu lalu, Azizi berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.
“Kita sedang siasat daripada semua sudut sama ada mempunyai kaitan atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN










