KUANTAN: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dua alam atau hibrib pertama negara bakal dibina di Pulau Tioman, Rompin, dekat sini dengan peruntukan berjumlah RM8 juta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, peruntukan terbabit sudah diluluskan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) yang lalu.
Katanya, konsep dua alam dipersetujui berikutan kekangan daripada segi perhubungan di sekitar Pulau Tioman yang tidak mempunyai laluan darat.
“Kawasan Kampung Paya, Kampung Genting dan Kampung Salang semuanya menggunakan jalan laut. Jadi disebabkan itu kita berhasrat hendak buat balai bomba dua alam ini yang mana kita mengutamakan penggunaan bot. Lokasi yang menggunakan jentera darat mungkin dI kawasan Kampung Tekek sahaja.
“Konsepnya balai bomba itu akan ada bot khas yang akan diletakkan terus di balai bomba. Bila ada panggilan kecemasan kita akan terus keluar menggunakan bot disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.
Wan Mohammad Zaidi berkata, dianggarkan 30 kakitangan JBPM Pahang akan ditempatkan di BBP berkenaan dan turut merangka meminta peruntukan tambahan bagi membina kuarters kakitangan.
Beliau juga memaklumkan, balai bomba tersebut antara dua BBP baharu yang mendapat kelulusan peruntukan dengan satu lagi bakal dibina di Benta, Lipis, dengan peruntukan berjumlah RM4 juta.
“Jadi sekarang ini di peringkat sedang berurusan dengan kerajaan negeri untuk membolehkan perolehan tanah yang belum diselesaikan lagi. Selepas selesai permohonan tanah kita akan bina secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu sebanyak 29 PBS menerima geran bernilai antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk memberi penghargaan kepada pasukan yang sentiasa membantu JBPM Pahang dalam menghadiri insiden yang berlaku dan juga menjadi “First Responder” yang sampai ke lokasi kejadian.
Menyentuh tentang kebakaran struktur yang kerap berlaku di daerah ini, Wan Mohammad Zaidi mengingatkan orang awam sentiasa berwaspada dengan persekitaran dan mengelakkan memulakan kebakaran kecil.
“Untuk pengetahuan umum, kes kebakaran struktur di daerah Kuantan meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga bulan terkini bermula Jun hingga Ogos tahun ini. Pada bulan Jun terdapat empat kes kebakaran bangunan, bulan Julai terdapat tujuh kes dan Ogos pula sebanyak 17 kes kebakaran bangunan direkodkan.
“Kes terkini bagi bulan ini direkodkan sehingga pagi ini iaitu dalam tempoh 24 jam, sebanyak tiga kes yang telah dihadiri iaitu melibatkan kemusnahan keseluruhan sebanyak 10 buah bangunan.
“Bahagian penyiasatan kebakaran JBPM Pahang sudah mengenalpasti punca utama kebakaran struktur yang mana kebanyakannya melibatkan pendawaian elektrik, perkakasan elektrik dan peralatan gas,” katanya. – UTUSAN










