Azman masih diburu – Polis

Azman masih diburu – Polis

ARA Abdul Hamid dan Mohamed Nor Mohamed Yassin (kanan) ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Keputusan laporan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua mayat mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh dekat sini dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, laporan itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi menentukan jantina mayat yang rentung terbabit.

“Pihak polis dan pasukan perubatan masih menunggu laporan sampel DNA daripada Jabatan Kimia dan dijangka dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Ini bagi menentukan jantina mayat yang mangsa rentung 80 peratus dalam kejadian kebakaran terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jenazah pasangan warga emas itu, Ara Abdul Hamid, 76, dan suaminya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini sementara menunggu laporan DNA.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi Jumaat lalu, pasangan suami isteri itu ditemukan rentung selepas rumah pusaka didiami lima sekeluarga musnah dijilat api.

Kebakaran tersebut menyebabkan mayat kedua-dua mangsa rentung 80 peratus sehingga menyebabkan proses pengecaman mayat sukar dilakukan.

Tragedi itu turut menyebabkan cucu pasangan itu, Noradriana Nor Hasyim, 11, terbunuh, disyaki dipukul dengan objek tumpul oleh bapa saudaranya yang kini menghilangkan diri.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz memaklumkan pihaknya masih memburu anak pasangan warga emas itu, Azman Mohamed Nor, 48, yang disyaki suspek utama kejadian tersebut.

Beliau turut memaklumkan, seorang lagi mangsa, Norazima Mohd. Radhi, 14, yang patah tangan dan cedera pada bahagian kepala disyaki suspek masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN