PETALING JAYA: Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ‘usang’ iaitu berusia melebihi 40 tahun serta kekurangan teknologi bagi mengesan nelayan asing antara punca perairan negara mudah diceroboh sehingga menyebabkan kerugian RM823.88 juta hasil laut akibat dicuri.
Difahamkan terdapat lokasi titik buta di beberapa kawasan perairan negara kerana tiada pengawasan Radar Pengawasan Laut (SWASLA) turut menyebabkan perairan negara diceroboh nelayan asing.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, keluasan perairan di Pantai Timur kira-kira 94,810.4 km persegi menjadikan penguatkuasaan terhadap pencerobohan vesel nelayan asing amat mencabar.
Beliau berkata, modus operandi nelayan asing yang ‘bermain sorok-sorok’ dengan lari ke sempadan apabila mengesan kehadiran kapal Maritim Malaysia menjadikan usaha menangkap mereka menjadi lebih sukar.
Katanya, pencerobohan juga berlaku dengan penggunaan radar dan radio berkualiti tinggi oleh nelayan asing.
“Hal ini menyebabkan penguat kuasa Maritim Malaysia tidak dapat melaksanakan operasi secara optimum sehingga kawasan sempadan perairan negara berisiko berlaku pencerobohan.
“Malah, terdapat individu tidak bertanggungjawab diupah untuk memberikan maklumat pergerakan aset-aset Maritim Malaysia yang beroperasi di laut.
“Justeru, kita (Maritim Malaysia) memerlukan masih memerlukan aset-aset kapal dan bot yang baharu bagi menggantikan aset-aset lama terutama kapal-kapal yang telah berusia melebihi 40 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, menurut Saiful Lizan, pihaknya mendapati vesel nelayan asing memasuki perairan negara bermula daripada matahari terbenam dan keluar waktu matahari terbit bagi mengelak ditangkap.
Bagaimanapun, jelasnya, modus operandi akan berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi laut selain berpandukan maklumat yang diperoleh oleh tonto darat dipercayai sentiasa memantau pergerakan aset Maritim Malaysia di lapangan.
“Vesel nelayan asing boleh berada di perairan negara berbulan-bulan lamanya.
“Ini kerana dipercayai mereka membuat transaksi di tengah laut bagi mendapatkan stok bekalan minyak dan makanan dari kapal induk yang datang mengambil hasil laut untuk dihantar ke negara jiran atau negara asal mereka,” katanya.
Menurut Saiful Lizan, pelbagai hasil laut Malaysia yang mempunyai nilai pasaran tinggi di negara asal mereka dicuri nelayan asing.
“Antaranya, ikan kerapu, tenggiri, ikan merah, sotong, gamat, udang karang dan pelbagai hasil laut lain. “Hasil tangkapan secara haram ini akan dijual di pasaran tempatan negara mereka mahupun di pasaran antarabangsa pada harga yang jauh lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










