WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bantuan ketenteraan baharu bernilai AS$125 juta (RM553 juta) untuk Ukraine, ketika negara itu dan Russia saling berbalas serangan yang masuk hari keempat semalam.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby berkata, pakej bantuan itu memperlihatkan komitmen berterusan negara ini terhadap Ukraine ketika Kyiv terus berjuang melawan pencerobohan Russia.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula berkata, antara senjata yang akan dibekalkan kepada Ukraine termasuklah pemintas pertahanan udara, roket, artileri, radar dan senjata anti-kereta kebal.
“Senjata-senjata ini akan membantu Ukraine melindungi tentera, rakyat dan bandar-bandar daripada serangan Russia serta mengukuhkan keupayaan mereka di sepanjang barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan seperti laporan Arab News.
Sejak Februari 2022, AS menjadi negara yang sering memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine dengan nilai lebih AS$55 bilion (RM243 bilion) dalam bentuk senjata, peluru serta bantuan keselamatan lain.
Pengumuman bantuan terbaharu itu dibuat ketika tentera Kyiv melancarkan serangan ke wilayah Kursk di barat Russia, satu serangan mengejut dan paling signifikan terhadap Russia sejak Moscow memulakan pencerobohan ke sempadan Ukraine.
Kirby menyatakan, AS sentiasa berhubung dengan Ukraine untuk memahami matlamat dan strategi Kyiv dalam konflik berkenaan.
Dalam perkembangan baharu konflik tersebut, sebanyak 12 terbunuh apabila Russia melancarkan serangan mengenai sebuah pasar raya di Kostiantynivka, timur Ukraine. – AGENSI










