Apa jadi RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan?

Apa jadi RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan?

Hartal doktor kontrak membangkitkan kajian RUU tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengemas kini status Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Perkhid­matan Kesihatan yang bakal dibentang ke Kabinet bagi mereformasikan sistem kesihatan negara.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, pegawai perubatan mahu mengetahui jangka masa, hala tuju suruhanjaya yang sangat dinanti-nantikan.

Menurutnya, sasaran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan suruhanjaya dalam tempoh 15 tahun menerusi kenyataan dalam Kertas Putih Kesihatan pada tahun lalu sudah tidak relevan, malah tidak rasional kerana terlalu lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan terakhir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada April lalu, kajian mengenai RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan di peringkat akhir dan akan dibentang ke Kabinet dalam masa terdekat,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Oleh itu, jurucakap itu menggesa Dzulkefly membuktikan komitmennya ke arah penubuhan suruhanjaya itu selepas menteri terdahulu, Dr. Zaliha Mustafa yang bertanggungjawab membentangkan Kertas Putih Kesihatan ditukar ke kementerian lain.

“Dahulu, Zaliha beritahu mahu tubuhkan suruhanjaya ini tetapi mengambil masa 15 tahun lagi. Kenyataan Zaliha dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata, malah makluman ini juga hanyalah omong kosong kerana tiada dokumen mutlak yang menunjukkan ke mana hala tujunya?

“Sekali lagi, kami merayu kerajaan meletakkan sepenuh iltizam menubuhkan suruhanjaya ini yang amat mustahak bagi kami selaku pegawai perubatan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dahulu kata akan bentang ke Kabinet dalam masa terdekat, sekarang sudah hampir ke penghujung tahun,” kata beliau.

Mengulas lanjut, kata jurucakap itu, semua kakita­ngan kerajaan termasuk sektor kesihatan bersyukur kerajaan me­ngumumkan kenaikan gaji sehingga 42 peratus.

Bagaimanapun, kata beliau, harapan melihat penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan lebih besar kerana pihaknya percaya dengan ada suruhanjaya sendiri, reformasi menyeluruh sebenar dan lebih besar dalam sektor kesihatan boleh dilakukan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak menyokong gesaan hartal doktor kontrak supaya kerajaan mempercepat penubuhan suruhanjaya ber­kenaan.

Bagaimanapun, katanya, suruhanjaya itu mesti ada rangka kerja yang jelas kerana isu kesihatan di Malaysia amat luas dan melibatkan banyak pihak.

“Keahliannya juga perlulah daripada pertubuhan kesihatan yang ada di negara ini. Suruhanjaya juga mesti bebas daripada ikatan KKM dan boleh menyuarakan pandangan secara bebas.

“Ketelusan dalam pemilihan ahli jawatankuasa juga amat diperlukan dan kami berharap menjadi salah satu ahli jawatankuasanya,” katanya.
Utusan Malaysia masih mendapatkan maklum balas Dzulkefly dan timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berhubung perkara itu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan mengeluarkan para pengamal perubatan daripada tangga gaji penjawat awam yang ketika ini diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ia juga bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak, membantu perkembangan kerjaya dalam bidang perubatan seterusnya menjadi pakar perubatan serta menangani isu kekurangan doktor-doktor pakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini