KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu sebuah agensi pelancongan mendepositkan sejumlah RM447, 216.35 ke dalam dua akaun CIMB milik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man antara 2016 dan 2017.
Agensi terbabit, Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. telah berbuat demikian melalui dua keping cek bertarik 3 Februari 2016 dan 3 April 2017.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pembantu Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB bank cawangan Putrajaya, Jespal Kaur Bantha Sing, 53, ketika membaca penyataan saksinya dalam perbicaraan kes Azlan yang didakwa atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
“Cek bernilai RM224,404.40 dimasukkan ke dalam akaun CIMB jenis semasa I-Wadiah milik Azlan pada 2 Feb 2016 dan cek bernilai RM222,811.95 ke dalam akaun CIMB jenis semasa pada 3 April 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari ketiga perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Pada prosiding sebelum ini, Mahkamah diberitahu akaun Maybank milik Azlan telah menerima tiga keping cek berjumlah RM629,395.30 daripada sebuah syarikat ejen pelancongan, Sri Kedawang Travel & Tours Sdn. Bhd. di antara Februari 2014 dan Januari 2016.
Menurut saksi pertama pendakwaan, Penolong Pengurus Cawangan Maybank, J. D. David Jesudasan, tiga cek berkenaan membabitkan cek bertarikh 14 Februari 2014 dengan jumlah RM208,339.90, cek bertarikh 5 Februari 2015 (RM196,651) dan cek ketiga bertarikh 20 Januari 2016 (RM224,404.40.)
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Burhanudeen Abdul Wahid, Jespal bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa penyata akaun bank Azlan yang dikemukakan di mahkamah bukanlah dokumen asal sebaliknya adalah cetakan dari sistem komputer bank.
“Setelah akaun dibuka oleh pelanggan, pihak bank akan menghantar dokumen ke ibu pejabat untuk dimasukkan ke sistem rekod bank tersebut. Justeru, semua maklumat adalah disahkan asli,” kata Jespall.
Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.










