KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dari Perikatan Nasional (PN) menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Pahang, AI-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menjalankan tugas baginda sebagai payung tempat mereka semua bernaung.
Ketua Pembangkang PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, taat setia turut dizahirkan terhadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal lbrahim Alam Shah.
“ADUN PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Susulan itu, Tengku Hassanal murka dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal dilaporkan bertitah, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Pengerusi PN itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Tengku Mahkota Pahang juga meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R iaitu Kaum, Agama, Institusi Diraja. – UTUSAN











