SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman kini berada dalam keadaan stabil selepas dilaporkan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung dan dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun berkata, Saiful Yazan masih dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Keadaannya saya difahamkan semakin baik dan pagi ini beliau telah sedar namun masih di bawah pemantauan doktor di CCU IJN. Semalam saya ada menziarahinya namun keadaannya masih belum sedar.
“Pagi ini Datin Shaliza Idris memaklumkan keadaan suaminya semakin baik tetapi perlukan pemantauan, sekarang ini kami harap beliau cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Saiful Yazan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah merupakan ADUN Johol sejak 2018 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tahun lalu.-UTUSAN.











