QUETTA: Sekurang-kurangnya 73 orang maut dalam serangan militan pemisah di balai polis, landasan kereta api dan lebuh raya di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan semalam.
Serangan itu adalah yang terbesar dalam beberapa tahun olehmerupakan terbesar dalam beberapa tahun oleh militan etnik yang memerangi pemberontakan selama berdekad untuk memenangi pemisahan wilayah barat yang kaya sumber, termasuk pelabuhan, lombong emas dan tembaga.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi dalam kenyataan berkata, serangan itu dirancang dengan teliti untuk mewujudkan keadaan huru-hara di Pakistan.
Tentera Pakistan berkata, 14 askar dan polis serta 21 militan terbunuh dalam pertempuran selepas serangan terbesar menyasarkan bas dan trak di lebuh raya utama.
Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti mengesahkan 38 orang awam turut terbunuh dalam serangan.
Menurutnya, 23 daripada mereka terbunuh dalam serangan di tepi jalan selepas lelaki bersenjata menembak dan membakar kenderaan mereka.
“Orang ramai diarahkan keluar dari bas dan dibunuh di hadapan keluarga mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.
Sementara itu, laluan kereta api ke Quetta ditutup susulan letupan di jambatan yang menghubungkan ibu negeri itu dengan seluruh Pakistan.
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, dan mendakwa lebih banyak serangan dilakukan.
BLA merupakan kumpulan terbesar daripada beberapa kumpulan pemberontak etnik yang menentang kerajaan pusat di Islamabad, mendakwa bahawa sumber gas dan mineral di wilayah itu dieksploitasi secara tidak adil, di mana kemiskinan berleluasa serta mahukan pengusiran China dan kemerdekaan untuk Balochistan.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berjanji pasukan keselamatan akan membalas dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke pengadilan.- REUTERS










