7 kes seludup dadah ke penjara guna dron tahun ini

7 kes seludup dadah ke penjara guna dron tahun ini

Dron dan dadah yang ditemukan di atas bumbung sebuah blok bangunan di Penjara Tapah di sini, kelmarin. UTUSAN/IHSAN PDRM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan sebanyak tujuh kes cubaan menyeludup dadah ke penjara menggunakan dron pada tahun ini.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, walaupun jumlah tersebut tidak banyak namun JSJN memandang serius taktik menyeludup dadah ke penjara di lima negeri tersebut.

Beliau berkata, JSJN sedang menyiasat dan mengenal pasti sindiket yang cuba menyeludup dadah menggunakan dron bagi mengelak aktiviti tersebut berleluasa.

“Cubaan menyeludup dadah di tujuh penjara tersebut membabitkan penjara di lima negeri iaitu di Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

“Cubaan menyeludup di semua penjara berkenaan membabitkan dadah jenis ganja, heroin, syabu, pil yaba dan ketamin.

“Ketujuh-tujuh kes berkenaan membabitkan rampasan dadah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 544.02 gram (g),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dadah paling tinggi yang cuba diseludup ke penjara iaitu membabitkan heroin dengan (290.35 g) diikuti syabu (124.26 g) ; ganja (114.03 g) ; pil yaba (99.9 g) dan ketamin (4.33 g).

“Satu kes pernah berlaku di Johor pada 2020 namun melibatkan kesalahan mengedar dadah menggunakan dron ke negara jiran dan satu tangkapan dilakukan ketika itu.

“Cubaan itu melibatkan dadah jenis syabu seberat 13.6 g diikuti pil ekstasi (11.83 g) dan heroin (2.4 g). Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan sistem anti dron dan pemintas teknologi tempatan dibangunkan dan sedang diperluas ke seluruh institusi penjara di negara ini bagi menangani isu penyeludupan dadah ke pusat tahanan itu.

Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

BERISIKO

“Jabatan Penjara turut mengenal pasti institusi penjara yang berisiko termasuk Penjara Tapah yang tular dengan kejadian cubaan seludup dadah menggunakan dron petang semalam (kelmarin).

“Jabatan penjara sentiasa bersiap siaga dan institusi-institusi penjara berisiko termasuk Penjara Tapah telah dilengkapi dengan Sistem Anti Dron dan peralatan pemintas bagi mencegah perkara ini,” ujarnya.

Selain itu, jelas kenyataan tersebut, Jabatan Penjara bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti penubuhan task force bagi mengekang ancaman pencerobohan ini dari semasa ke semasa.

Kelmarin, pihak polis mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam daripada seorang kakitangan penjara.

Kakitangan penjara membuat laporan polis selepas dia menemui sebuah dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok penjara.

Dron berkenaan ditemukan semasa kakitangan bersama anggota lain membuat rondaan pukul 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit.

Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga peket berisi serbuk putih disyaki heroin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×