ALOR GAJAH: Sebanyak 59 daripada 67 projek konservasi dan pemuliharaan bangunan warisan sudah siap dilaksanakan Kementerian Kerja Raya sepanjang tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 26 projek adalah milik Kerajaan Persekutuan, 18 projek negeri dan 15 projek khidmat nasihat.
Kata beliau, antara projek terlibat adalah Masjid Alai di Melaka; Masjid Sultan Suleiman dan Galeri Diraja Klang (Selangor); Istana Kenangan (Perak); Istana Lama Seri Menanti (Negeri Sembilan) dan Perahu Besar (Terengganu).
“Pemuliharaan bangunan warisan yang kaya dengan nilai sejarah dijangka merancakkan lagi promosi pelancongan terutama di Melaka dan Pulau Pinang. Usaha ini bukan sahaja dapat menarik minat rakyat tempatan, malah pelancong asing untuk mendalami lebih lanjut tentang sejarah negara.
“Antara projek baik pulih yang telah selesai ialah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan akan diserahkan pada 27 Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar Program Platform for Exploration: Technical and Design (Pentas) 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di sini, semalam.
Mengenai penganjuran Pentas 2024, Alexander berkata, program itu bukti komitmen kementerian terhadap inisiatif mengimbangi pembangunan negara melalui usaha pemeliharaan budaya dan warisan.
Menurutnya, Pentas 2024 diharap dapat menjadi platform pemikiran strategi lebih bersepadu dan menyeluruh agar pelaksanaan projek-projek yang melibatkan warisan memenuhi jangkaan, berfokus dan memberi impak kepada rakyat dan negara.
“Tidak dinafikan warisan dan keupayaan teknikal adalah pemangkin kepada pembangunan negara. Budaya dan identiti negara adalah panduan dalam berhadapan globalisasi yang boleh mengancam kelestarian nilai-nilai dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya. – UTUSAN










